Memahami Ayat Arahan Dalam Soalan PeperiksaanOleh Ab. Rahim Mahmood
BAHASA Melayu memang terkenal dengan bahasa yang mempunyai
pelbagai kegunaan sehingga telah diiktiraf sebagai bahasa merentas
kurikulum. Keupayaan menguasai bahasa Melayu dengan baik dan
berkesan akan membolehkan seseorang itu menguasai pelbagai
bidang ilmu. Dalam rencana ini, penulis mencuba membincangkan
kaedah memahami ayat arahan dalam bahasa Melayu. Kesukaran
memahami konteks ayat-ayat arahan akan menyebabkan berlaku
pelbagai kesilapan tanggapan tentang arahan yang diberi.Terdapat pelbagai jenis ayat yang digunakan dalam menyampaikan
arahan. Ada ayat pendek dan ada pula ayat panjang. Walau apa pun
jenis ayat yang digunakan, yang penting ialah arahan yang diberi boleh
difahami oleh orang yang menerima arahan. Bagi memudahkan
perbincangan, penulis membataskan perbincangan kepada arahan
dalam soalan peperiksaan. Secara umumnya terdapat enam jenis ayat
arahan yang biasa digunakan dalam soalan peperiksaan SPM atau
STPM. Keenam-enam jenis ayat itu ialah arahan ayat mudah, arahan
ayat panjang, arahan ayat berperingkat, arahan campuran, arahan
berbentuk amaran, dan arahan memberi keterangan.Arahan menggunakan ayat mudah banyak digunakan dalam
peperiksaan. Tujuan menggunakan arahan dengan ayat mudah
semata-mata untuk memberi satu daya kefahaman yang mudah,
ringkas dan tepat kepada calon. Kebiasaan penggunaan arahan
seperti ini banyak, terutama bagi soalan-soalan yang memerlukan
calon menjawab kesemua soalan. Antara contoh ayat arahan yang
menggunakan ayat pendek dan mudah ialah:i. Jawab semua soalan.
ii. Jawab semua soalan dalam bahagian ini.
iii. Jawapan boleh ditulis dalam tulisan rumi atau jawi.
iv. Jawab sama ada (a) atau (b).Penggunaan ayat-ayat yang pendek dan mudah seperti di atas jelas
dapat memberi daya kefahaman kepada calon. Ayat-ayat ini
menjelaskan semantik dan keinginan pengeluar arahan dengan
seterang-terangnya. Kegagalan calon mematuhi arahan yang diberi
akan menjejaskan pemarkahan.Arahan dengan menggunakan ayat yang panjang kebiasaannya
digunakan untuk menyampaikan satu atau banyak maksud. Selain itu
arahan ini juga memerlukan calon atau pelajar mematuhi arahan yang
diberi. Arahan dengan menggunakan ayat yang panjang memerlukan
calon membuat penelitian dan pemahaman secara berperingkat
berdasarkan ayat atau perkataan. Bentuk arahan ini berdasarkan
kepada penggunaan satu ayat ataupun dua ayat. Antara contoh
arahan menggunakan ayat panjang ialah;i. Tuliskan jawapan anda di ruang yang disediakan dalam kertas
soalan ini.
ii. Tiap-tiap soalan diikuti oleh empat pilihan jawapan.
Pilih satu jawapan yang terbaik bagi tiap-tiap soalan dan hitamkan
ruangan yang sepadan pada kertas jawapan objektif anda.
iii. Tuliskan sebuah karangan tentang satu daripada perkara yang
diberi di bawah. Panjang karangan itu hendaklah tidak kurang
daripada 350 patah perkataan.
iv. Bagi soalan 1 hingga 30, tiap-tiap soalan diikuti oleh empat pilihan
jawapan. Pilih satu yang terbaik bagi tiap-tiap soalan dan hitamkan
ruangan yang sepadan pada kertas jawapan objektif anda.Arahan dengan menggunakan ayat panjang akan mendatangkan
permasalahan kepada calon kerana sebarang ketidakfahaman
semantik tentang arahan yang diberi akan menyebabkan calon
terkeliru.Satu lagi arahan yang dapat penulis rumuskan ialah arahan jenis ayat
berperingkat. Penggunaan ayat berperingkat sebenarnya penting
dalam memberi lebih daya kefahaman kepada pembaca.
Kebiasaannya ayat yang digunakan adalah pendek dan digunakan
dengan nombor yang bermula dengan nombor satu sehingga tamat
arahan yang hendak diberi. Antara contoh arahan menggunakan ayat
berperingkat ialah;i) 1. Kertas soalan ini mengandungi 40 soalan.
2. Jawab semua soalan.
3. Kalkulator elektronik biasa boleh digunakan.ii.) 1. Kertas soalan ini mengandungi dua bahagian.
Bahagian A dan Bahagian B.
2. Jawab semua soalan dalam bahagian A dan lapan soalan daripada
bahagian B.
3. Jawapan hendaklah ditulis dalam ruang yang disediakan dalam
kertas soalan ini hendaklah diserahkan pada akhir peperiksaan.
4. Kerja mengira hendaklah ditunjukkan dengan jelas. Anda mungkin
kehilangan markah jika langkah-langkah penting tidak ditunjukkan
dengan teratur.
5. Soalan 2 hingga 20 diperuntukkan 3 markah bagi tiap-tiap soalan.
Soalan 21 hingga 32 diperuntukkan 5 markah bagi tiap-tiap soalan.
6. Buku sifir matematik empat angka disediakan.
7. Anda tidak boleh menggunakan kalkulator.Arahan secara ayat berperingkat digunakan untuk mengurangkan
penggunaan ayat yang panjang. Walaupun arahan yang diberi panjang
tetapi penggunaan nombor untuk satu-satu arahan didapati
memudahkan pemahaman di kalangan calon. Walau bagaimanapun,
calon mungkin perlu menghabiskan masa dalam usaha meneliti arahan
ayat berperingkat.
Arahan berbentuk amaran pula mengarahkan calon agar tidak
melakukan sesuatu yang melanggar peraturan peperiksaan seperti
meniru dan sebagainya. Kebiasaannya arahan yang berbentuk
amaran mesti dipatuhi oleh calon dan pihak yang mengeluarkan arahan
akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya didapati calon
gagal mematuhi arahan. Antara contoh arahan berbentuk amaran
ialah;i. Jangan buka kertas soalan ini sehingga diberitahu.
ii. Anda tidka boleh menggunakan kalkulator.
iii. Jawab tiga soalan sahaja.
iv. Jawab dua soalan daripada Bahagian A dan tiga soalan daripada
Bahagian B.
v. Jangan dedahkan jawapan anda sehingga boleh dibaca oleh calon
lain.
vi. Jangan meniru dan memberi peluang meniru kepada calon lain.
vii. Calon yang melanggar amaran boleh dikenakan tindakan yang
setimpal seperti berikut;a. Disingkir daripada mengambil peperiksaan.
b. Dilarang meneruskan peperiksaan bagi semua kertas selanjutnya.
c. Dibatalkan keputusan mata pelajaran atau keseluruhan keputusan
peperiksaan.
d. Digantung daripada mengambil peperiksaaan selama beberapa
tahun.Arahan yang berbentuk amaran menggunakan ayat yang mudah,
pendek tetapi jelas menunjukkan amaran seperti banyak
menggunakan perkataan “jangan” dan “dilarang”.Akhir sekali, bentuk arahan yang dapat penulis simpulkan ialah arahan
berbentuk memberi keterangan. Biasanya arahan ini digunakan untuk
memberi penjelasan kepada calon tentang apa yang perlu dilakukan
dan juga untuk menerangkan kandungan sesuatu soalan. Arahan ini
juga untuk mengesahkan bahawa soalan atau bahan yang diberi
menepati ciri-ciri keselamatan atau lengkapnya soalan mengikut
bilangan soalan. Antara contoh arahan berbentuk memberi
keterangan ialah;
i. Calon dikehendaki menyerahkan semula buku sifir empat angka.
ii. Kertas soalan ini mengandungi 6 halaman bercetak dan 2 halaman
tidak bercetak.
iii. Kertas soalan ini mengandungi empat soalan.
iv. Jawapan boleh ditulis dalam tulisan rumi atau Jawi.
v. Kertas soalan ini mengandungi Bahagian A dan Bahagian B.Arahan berbentuk keterangan ini menggunakan ayat-ayat yang
pendek dan mudah supaya senang difahami semantiknya. Yang paling
penting dalam arahan ini ialah calon tahu apa yang hendak
disampaikan oleh pengeluar arahan tentang sesuatu soalan.Sebagai kesimpulan dalam rencana ini, penulis dapat merumuskan
bahawa fungsi bahasa Melayu amat luas penggunaannya di samping
itu bahasa Melayu dapat menepati ciri-ciri arahan yang memungkinkan
calon memahami setiap arahan yang dkeluarkan. Penggunaan
ayat-ayat yang mudah dan teratur dalam arahan dapat memberi daya
kefahaman yang lebih kepada calon dan seterusnya dapat melahirkan
satu kekuatan ilmu di kalangan calon bukan bahasa Melayu sebagai
bahasa pertamanya. Akhir sekali setiap arahan yang dibuat
sebenarnya tidaklah mempunyai pecahan atau pembahagian
sebagaimana yang penulis bincangkan, sebaliknya arahan-arahan yang
diberi itu saling melengkapi atau saling tumpang tindih antara satu
sama lain seperti arahan keterangan akan disertakan dengan arahan
berbentuk amaran dan juga arahan-arahan lain. Diharapkan rencana
ini dapat memperkayakan lagi daya kefahaman calon peperiksaan dan
yang paling penting rencana ini dapat memperlihatkan keupayaan
fungsi bahasa Melayu dalam segala bidang.